Dari BTB Lekor ke Dynar Lekor - Dynar Lekor - Btb Lekor

Dynar Lekor – Btb Lekor

Jumpa kami di PIHEC 2016
June 26, 2016
Cara Pemprosesan Keropok Lekor
November 2, 2017
Jumpa kami di PIHEC 2016
June 26, 2016
Cara Pemprosesan Keropok Lekor
November 2, 2017

Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan, kini syarikat perusahaan keropok lekor Bukit Tok Beng ini mula menempa nama di segenap pelosok negeri di Malaysia. Sebut sahaja kedai keropok Bukit Tok Beng, pasti ramai yang mengenalinya. Keenakan rasa keropoknya yang asli, telah menambat hati ramai penggemar makanan ini. Bangunan perusahaan ini telah dibangunkan di atas sebuah bukit yang telah ditarah. Pada awalnya perusahaan keropok ini  diusahakan oleh dua beradik iaitu Haji Nazri Mohd Dagang dan juga adiknya Haji Nazir Mohd Dagang. Membawa nama BTB2209 yang mana dimiliki oleh syarikat Berkat Nazri Nazir Enterprise, mereka bergabung tenaga dan idea untuk menghasilkan keropok lekor rebus yang paling sedap di negeri Terengganu. Nama BTB tersebut diambil dari singkatan nama kampung tersebut iaitu Kampung Bukit Tok Beng. Manakala pemilihan nombor 2209, itu pula adalah sebagai tanda kenangan kepada arwah ayah mereka, yang mana sangat meminati nombor 2209 terutamanya pada nombor plat kenderaannya. Amalan tersebut terus menerus diwarisi oleh anak-anak mereka. Bukan sahaja masih mengekalkan nama BTB2209 itu, malah turut menggunakan nombor 2209 itu pada setiap nombor telefon mereka.

Semakin lama, perusahaan mereka semakin berkembang pesat. Kemuncak kegemilangan perusahaan tersebut apabila adik mereka iaitu Dasimah Mohd Dagang menamatkan pelajarannya dalam bidang Sains Kimia (USM) pulang ke kampung untuk membantu perusahaan yang diusahakan oleh kedua-dua abangnya. Pada awalnya, Puan Dasimah ini hanya membantu menjaga dan mengurus kewangan syarikat tersebut. Namun, kini berkat pandangannya yang jauh, pada tahun 2009 beliau telah berjaya menubuhkan sebuah lagi anak syarikat penghasilan keropok yang dikenali sebagai Berkat BTB Dua Enterprise. Bangunan syarikatnya adalah bersebelahan dengan syarikat abangnya. Dengan membawa jenama BTB Lekor, Puan Dasimah telah mencipta kelainan daripada konsep yang dibawakan oleh kedua-dua abangnya. Berkat Nazri Nazir Enterprise menghasilkan keropok rebus, manakala Berkat BTB Dua Enterprise ini pula menghasilkan keropok goreng tanpa rebus dengan mengetengahkan konsep keropok sejuk beku.

Pada awalnya hanya menghasilkan keropok jejari biasa sahaja, tahun demi tahun banyak inovasi rasa keropok telah dihasilkan. Pada tahun 2011, inovasi keropok pertama telah dilakukan. Hasil cetusan idea Encik Rozlan iaitu suami kepada Puan Dasimah yang mana sangat menggemari keju, maka pada tahun tersebut terhasillah keropok jejari keju. Pada tahun 2012 pula, keropok keju bawang, tahun 2014 pula keropok cheesy lava, tahun 2015 keropok keju lada hitam. Sehinggalah pada tahun 2016 di bawah syarikat Berkat BTB Dua Enterprise, ada 8 jenis keropok semuanya. Antara produknya ialah keropok jejari biasa, keropok jejari keju, keropok cheesy lava, keropok keju potong, keropok keju bawang, keropok lada hitam, keropok keju lada hitam dan juga keropok bebola Mozza(Mozzaball).

Semakin lama, syarikat ini semakin berkembang pesat. Pada tanggal 1 Februari 2016, Syarikat Berkat BTB Dua Enterprise ini telah memperoleh sijil halal daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu kerana produk yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut telah mematuhi syarak dan piawaian Halal Malaysia. Kesannya, permintaan keropok yang dihasilkan tersebut semakin hari semakin mendapat permintaan yang memberangsangkan oleh hampir segenap masyarakat dari seluruh negeri di Malaysia termasuklah Sabah dan Sarawak. Dengan nama syarikat Berkat BTB Dua Enterprise inilah, Puan Dasimah telah membawa keluar produk hasil keluaran syarikatnya untuk diperkenalkan ke seluruh kawasan iaitu dengan menyertai pelbagai pameran dan aktiviti seperti ekspo keusahawanan dan sebagainya yang diadakan di luar Terengganu. Antara aktiviti yang pernah disertai oleh syarikat Berkat BTB Dua Enterprise ini ialah Ekspo Halal Penang (2015 dan 2016), Pesona Terengganu di Kuala Lumpur (2015), Terengganu Show Case di Johor ( 2015) dan juga Mood Republic (2015).

Menyertai pameran dan aktiviti luar ini telah menjadikan keropok Bukit Tok Beng ini mula dikenali ramai. Permintaan daripada luar negeri Terengganu telah menyebabkan syarikat ini telah membuat beberapa penambahbaikan dalam sistem perniagaannya. Antara sistem yang telah diwujudkan ialah sistem pembelian dalam talian, di mana syarikat ini mempunyai laman sesawang sendiri. Caranya mudah sahaja, layari sahaja laman web www.dynarlekor.com dan boleh membeli secara terus disana. Penghantaran pula akan dibuat menggunakan perkhidmatan pos laju. Bagi pelanggan yang ingin menjual semula produk keluaran syarikat di tempat mereka, perlulah mendaftar dengan syarikat dan harga istimewa menanti. Penghantaran keropoknya pula akan dibuat melalui bas disebabkan kuantitinya yang banyak.

Seperti pepatah melayu berkata disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah jalan. Begitulah juga kehidupan berniaga. Kadang berada di atas, kadang berada di bawah. Tiada kehidupan yang tidak dilanda musibah. Awal bulan enam 2016, permohonan untuk mempaternkan jenama BTB Lekor yang mana telah digunakan sejak awal penubuhan syarikat ini, menemui jalan buntu, apabila tidak mendapat kelulusan disebabkan jenama BTB tersebut telah digunakan oleh syarikat Berkat Nazri Nazir Enterprise. Mengambil langkah selamat, Puan Dasimah telah mengambil keputusan untuk mengubah nama syarikat dan juga menukar jenamanya. Setelah perbincangan terperinci diadakan, akhirnya mereka sebulat suara bersetuju untuk mengubah nama syarikat kepada DNRLekor Sdn. Bhd. Nama tersebut diambil hasil gabungan nama ahli keluarga bagi pasangan Puan Dasimah dan Encik Rozlan. Awal bulan enam 2016 juga, jenama baru telah digunakan iaitu Dynar Lekor.  Sehingga kini, keropok hasil keluaran Syarikat DNRLekor Sdn Bhd ini tetap mendapat permintaan tinggi walaupun telah diubah jenamanya.

×