Ekspo Terengganu 2018
February 19, 2018PAKEJ MENGENTEL KEROPOK LEKOR
January 27, 2020Mengangkat makanan pilihan kebanyakan pelancong luar Terengganu iaitu keropok lekor ke peringkat global menjadi fokus utama DNR Lekor Sdn Bhd yang kini semakin dikenali dengan pelbagai inovasi yang dilakukan terhadap gastronomi berkenaan sejak 2011 lagi.
Pengarah Urusannya, Dasimah Mohd Dagang berkata, melangkah ke bidang lain yang tidak pernah diceburi bukan perkara mudah tetapi berbekalkan keyakinan arwah ayah, beliau percaya akan ada keberkatan daripada kata-kata “Pok kata mung buleh” yang pernah disampaikan ibu, Meriam Awang kepadanya.
Membawa semangat arwah ayah yang meninggal di Tanah Suci, Dasimah sentiasa merasakan arwah berada di sisinya sebagai menyambung perancangan yang pernah dirangka ketua keluarga itu ketika keberadannya di dunia ini untuk melihat dia berjaya dalam perniagan.
Dasimah yang membawa nama Dynar Lekor selepas tidak lagi bersama syarikat abangnya, keropok lekor Bukit Tok Beng atau BTB di Kuala Nerus, Terengganu, terus melangkah bagi membangunkan makanan tradisional secara bersistem termasuk sistem jualan bernombor dan dijual juga secara dalam talian (online).
“Bukan mustahil pun, keropok lekor yang dianggap dijual di bangsal buruk di tepi jalan mampu menjadi satu produk setaraf dengan restoran makanan segera lain yang berasal dari luar negara dan bertapak di Malaysia.
“Kita dulu pun begitu juga, daripada bangsal buruk di tepi jalan dan semua dilakukan manual tetapi dengan adanya inovasi berterusan, Alhamdulillah ia mampu berkembang maju sehingga wujudnya konsep pandu lalu yang dilakukan di Dynar Lekor cawangan Buluh Gading, Kuala Terengganu yang beroperasi Mac ini, ” katanya yang mengketengahkan keropok lekor keju, lada hitam, bawang beserta keju dan pelbagai lagi.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, Dynar Lekor turut mempunyai kilang pembuatan sendiri dan pencapaian berkenaan sudahpun membuktikan keropok lekor bukan kekal dikenali sebagai makanan yang dijual di bangsal buruk tepi jalan tetapi mampu berada sebaris makanan antarabangsa.
Dasimah berkata, beliau sentiasa cuba menyelesaikan masalah pelanggan dengan menawarkan penambahbaikan berterusan dalam produk produknya dan disebabkan itu juga tercetus idea menghasilkan keropok lekor poppers (dicincang kepada saiz kecil) pelbagai perisa yang mudah dimakan berbanding keropok biasa yang panjang.
Pemegang Sarjana Muda Kimia Gunaan (Analisis) dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu yang mempunyai pengalaman dalam bidang kimia selama lima tahun bersama sebuah syarikat di Kedah, tidak mensia-siakan ilmu itu malah turut mengaplikasikan kepada makanan keropok lekor dalam setiap inovasi yang dilakukan.
Tidak hairanlah Dynar Lekor yang mendapat persijilan Halal dan Mesti itu semakin disukai ramai dan menjadi pilihan pelancong kerana teksturnya dan ketahanan produk mereka lain dari yang lain dek ilmu di dada.
Bagaimanapun dalam sibuk menguruskan perniagaan, Dasimah juga berdepan ujian dan cabaran yang silih berganti tetapi dalam masa sama, beliau cukup yakin dengan ketentuan Allah SWT dan berpegang kepada kata-kata, apabila Tuhan telah menetapkan sesuatu menjadi milikmu pasti akan dapat, cuma masanya mungkin cepat atau lambat.
“Sebenarnya banyak perancangan saya mengenai keropok lekor ini tetapi biarlah ia berjalan sedikit demi sedikit supaya tidak tercicir di kemudian hari. Alhamdulillah apa yang saya ada sekarang ini yang juga dibantu suami, Rozlan Mohd Nor dan tunjuk ajar sebelum ini daripada abang, Mohd Nazir dan Mohd Nazri serta ibu, saya dapat kembangkan nama keropok lekor hingga ke luar negara.
“Pasaran Dynar Lekor bukan sahaja di dalam negara tetapi pernah mendapat pelanggan dari Australia, Belanda dan Mesir. Saya juga pernah menyertai Ekspo Halal Singapura bersama YPU dan ECER pada 2017, dan menjadi satu kepuasan apabila dapat membawa keropok lekor ke peringkat antarabangsa,” katanya yang kini mengetengahkan pula produk inovasi baru iaitu D’quca (Satar).
Suatu hari, pemegang Sarjana ini mahu Dynar Lekor menjadi sebutan bagi keropok lekor sepertimana orang mengenali keropok lekor Losong. Apabila ingat keropok lekor, orang akan ingat atau terbayangkan Dynar Lekor, itu antara impian Dasimah yang belum tercapai.
Nasihatnya, sebelum memulakan bisnes, kenali dan ketahui kemampuan diri sendiri untuk mengendalikan sesuatu bisnes, yang penting jangan suka ikut apa orang lain buat kerana sebagai seorang usahawan, tidak boleh ada sikap ikut orang kerana jiwa berbisnes sangat penting malah perlu diutamakan.